Thursday, April 7, 2011

1-ia telah bermula

Tangan kerasnya itu mengalunkan jari –jemarinya mengukir madah-madah ayat puisi yang tercipta keluar dari inspirasi keindahan malam yang dirasainya saat itu. Dia seolah-olah sedang berdialog dengan cakerawala malam, bintang dan bulan seolah-olah berinteraksi dengan jejaka keturunan Kelantan itu. Fiq seperti memperoleh kepuasan yang teramat sekiranya dia dapat memenuhi helaian buku notanya itu. Jam hampir menunjukkan jam 3.00 pagi, suasana dingin merubah emosinya. Angin-angin halus bermain di rongga-rongga liang romanya hingga terketar tubuh pemuda berumur 19 tahun itu. Rambut hitam lurusnya itu beralun mengikut rentak sang angin yang bertiupan, sinar pantulan perang dari cahaya bulan pada rambutnya menambahkan lagi seri pada wajah pemuda itu. Bagi seorang lelaki, rambut itu adalah mahkotanya tidak terkecuali Fiq. Hidung yang tidak mancung dan tidak juga terlalu penyek digarunya dengan jari telunjuknya. Tubuh yang tidak begitu besar dan tidak begitu kecil itu kadang-kadang menggigil kesejukan tatkala sang angin bersama laskar sejuknya merempuh tubuh Fiq. Sepasang mata berwarna hitam itu tidak henti-henti memerhatikan suasana sekeliling. Bibir yang halus itu bertukar merah warnanya dalam cuaca seperti itu.

“Nampaknya kalau aku terus berada di sini, pasti aku diserang selsema. Tapi aku keberatan untuk meninggalkan suasana malam yang damai ini,” rungut Fiq. Dia lalu berdiri membetulkan urat-urat liatnya itu masuk ke dalam rumah.

Dia memerhati suasana rumahnya. Matanya terjeling-jeling memastikan bahawa kedua ibu bapanya sudah melabuhkan diri. Dia risau kalau-kalau ibunya masih berjaga, ibunya amat pantang sekiranya dia tidur terlalu lewat. Perlahan-lahan dia menyelinap ke dalam bilik tidurnya dengan harapan dia tidak mengganggu sesiapa atau mengejutkan sesiapa. Hanya bayangan katil bersama tilam empuknya yang berlegar-legar di kepalanya itu.
Sedang dia berjalan perlahan menuju ke kamarnya, satu suara menyapanya “Along…!” hatinya tersentap, barangkali apa yang memanggilnya itu, dia perlahan-lahan memalingkan kepalanya ke arah suara itu.
“Lah, adik ke. Adik ni buat abang terperanjat aje , kenapa dengan adik ni?” soal fiq kepada adiknya yang tercegat berdiri dihadapannya sambil memeluk bantal busuknya itu.

“Abang fiq, teman adik pergi tandas. Adik takut pergi sorang-sorang.”

“Apalah adik ni, pergi tandas pun takut. Kata nak jadi kuat macam superman.”

“Memang adik nak jadi superman pun, abang tahu tak, yang superman waktu dia kecil dulu pun takut nak pergi tandas seorang diri,”Adiknya dengan yakin berkata pada abangnya itu.
Fiq ketawa kecil mendengar kata-kata adiknya itu.

Satu persoalan bemain di fikirannya, dia tertanya-tanya apakah agaknya yang bermain di fikiran kanak-kanak kecil seperti adiknya itu. Adakah itu yang menjadi perbezaan diantara seorang dewasa dan seorang kanak. Setelah selesai anak bongsu daripada lima beradik itu membuang air, Fiq lalu membawanya ke bilik tidur. Dia mengangkat adiknya yang separuh sedar itu ke atas tilam, selimut yang berada di hujung katil ditariknya menyelimuti adk bongsunya itu.
Fiq membisik perlahan ke telinga adiknya yang sudah mula memasuki alam mimpi.

“Adik, kalau nak jadi superman mestilah gagah. Tak kira apa pun adik jangan takut.”Fiq meninggalkan adiknya yang sedang nyenyak dibuai mimpi. Dia menyusuri ke kamar tidurnya, dicapainya selimut yang berada di atas tilam itu lalu mengibas tilam menghilangkan debu-debu yang berada di atas tilam tersebut. Baginya walaupun ia sesuatu perkara yang dipandang remeh oleh sesetengah orang, pada hakikatnya dia dapat menghindar tilamnya itu daripada benda-benda kotor dan halus. Kadang-kadang benda yang halus inilah yang menyebabkan kesan yang besar. Fiq merebahkan tubuhnya ke atas tilam yang siap dibersikan itu.

“Semoga esok merupakan hari yang menarik.”

No comments:

Post a Comment

let have some.....comment!!!!!